Tuesday, April 1, 2014

Luasnya Kasih Sayang Allah SWT...

Diriwayatkan oleh Abu Zar r.a bahawa, "Pada satu hari beberapa orang sahabat Rasulullah S.A.W berkata kepada baginda, "wahai Rasulullah, orang-orang kaya berpeluang untuk mendapatkan pahala, mereka solat macam kami solat, mereka perpuasa seperti kami berpuasa. Malah mereka juga dapat bersedekah dengan harta mereka yang banyak."

Rasulullah S.A.W berkata, "Bukankan Allah S.W.T telahpun menyediakan untuk saudara-saudara sekelian sesuatu yang dapat saudara sedekahkan? Saudara membaca subhanallah saudara mendapat pahala sedekah. Saudara membaca Allahu Akbar saudara mendapat pahala sedekah, saudara membaca Alhamdulillah, saudara mendapat pahala sedekah. Saudara baca La ilaha illallah, saudara mendapat pahala sedekah. Saudara mengajak orang melakukan kebaikan, saudara dapat pahala sedekah. Saudara mencegah orang dari melakukan kejahatan, saudara dapat pahala sedekah. Apabila saudara melakukan persetubuhan dengan isteri saudara, itu juga menyebabkan saudara mendapat pahala sedekah".

Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah kami juga diberi pahala apabila menyetubuhi isteri kami? sedangkan itu hanyalah untuk memuaskan nafsu kami!".

Baginda Rasululllah S.A.W menjawab, "Cuba katakan, tidakkah apabila saudara melakukan persetubuhan dengan perempuan secara haram, saudara-saudara mendapat dosa?, dengan demikian, apabila saudara melakukan persetubuhan dengan isteri saudara, dan ianya dihalalkan oleh Allah S.W.T, maka sudah tentulah saudara mendapat pahala."

Rujukan: 40 Hadis Imam Nawawi...

Thursday, February 27, 2014

Kisah Pemuda yang berselawat.

Selawat Ibrahimiyiah.
Dikisahkan, Sufyan Al-Thauri menceritakan. "Ketika aku sedang tawaf, aku diiringi oleh seorang pemuda yang setiap kali melangkah, tidak akan lepas dari berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Maka aku bertanya kepadanya, "Nampaknya kamu lebih suka membaca selawat Nabi, dan kurang membaca tasbih & tahlil, apakah kamu mempunyai suatu tujuan?"
Pemuda itu menjawab, "Oh, Maaf, siapakah kamu?", aku menjawab, "Sufyan Al-Thauri". Pemuda itu berkata,"Seandainya kamu mempunya masa, akan kuceritakan sebabnya kepadamu", kemudian dia melanjutkan bicaranya.
"Pada mulanya aku ingin menunaikan haji bersama ayahku, namun di tengah perjalanan ayahku jatuh sakit. Aku berusaha mengubatinya, namun gagal. Ketika aku berada di sebelah kepalanya, ayahku pun menghembuskan nafas terakhir. Bagaimanapun, hal yang membuatkan aku berasa sangat hairan adalah perubahan wajah ayahku. Mukanya menjadi hitam pekat. Aku berkata " 
 إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ . Ayahku telah meninggal dunia dengan wajahnya yang menjadi hitam pekat. Kemudian ku tutupi wajahnya dengan kain. Kerana sudah larut malam, aku tertidur di sampingnya. Dalam tidurku itu aku bermimpi bertemu dengan seorang pemuda yang sangat tampan. Pakaian pemuda itu bersih dan wangi. Dia melangkah menuju ke arahku, lalu mendekati mayat ayahku, membuka kain yang menutupi wajah ayahku dan mengusapnya dengan kedua tangannya. Ketika itu jugalah wajah ayah kembali putih bercahaya. Ketika pemuda itu hendak pergi, kutarik jubah belakangnya, dan bertanya."Siapakah kamu ini?" Nampaknya Allah telah mengembalikan wajah ayahku dengan perantaraan kamu,. Pemuda itu berkata, "Adakah kamu tidak mengenali aku? Aku adalah Muhammad Bin Abdullah, yang membawakan al-Quran. Adapun ayahmu adalah orang yang suka bermewah di dalam hidup, tetapi dia banyak membaca selawat kepadaku. Maka aku harus menolongnya agar muka orang-orang yang membaca selawat kepadaku selalu putih dan bercahaya".
Perbanyakkanlah selawat ke atas Nabi terutama sekali di hari Jumaat kerana Selawat dapat menutupi dosa besar dan menunjukkan jalan yang lurus.

Sumber rujukan; Asas Tasawuf (Membentuk Insan Calon Penghuni Syurga) Karya Al-Sayyid Bakri Al-Makkiy